Wednesday, December 10

ISTIGHFAR : NILAIAN YANG KIAN TENGGELAM


Entah berapa kali kita mendengar tentang istighfar. Satu perkataan yang ghalib disebut, namun, mungkin kurang diamati hinggakan jarang dibawa dalam realiti kehidupan.

“Takpa la. Dah selalu baca lepas solat.”

Makanya, adakah istighfar itu menjadi ritual wajib selepas solat sahaja?





Hasan al-Basri Membawa Solusi Dari Allah.

Ahmad Mustafa al-Maraghi menukilkan kisah di dalam kitab tafsirnya ketika mana suatu hari, Hasan didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang kelaparan yang dihadapinya. Hasan dengan penuh perhatian menjawab, "Istighfarlah kepada Allah swt".

Datang lagi seorang lelaki meminta Hasan untuk mendoakannya agar dia mempunyai zuriat. Hasan menjawab, "Beristighfarlah kepada Allah swt".

Kemudian datang lagi seorang lelaki yang kebunnya mengalami kekeringan. Hasan terus menjawab, "Beristighfarlah kepada Allah swt".

Nah! Kalau kita berada pada tempat mereka yang megadu, akan timbul rasa tidak puas hati. Berbagai masalah yang diluahkan, hanya dibalas dengan istighfar.

Jawapan Hasan al-Basri tersebut menghairankan penduduk sekitar sehinggalah seorang daripada penduduk itu berkata kepada Hasan, "Beberapa orang lelaki mendatangimu mengeluhkan berbagai persoalan, tetapi engkau hanya menyuruh mereka semua untuk istighfar!"

Maka Hasan menjawab, "Aku sama sekali tidak mengatakan apapun daripada diriku sendiri. Sesungguhnya Allah swt berfirman seperti itu, "Benar, segala persoalan tersebut telah dirangkumkan oleh Allah di dalam Surah Nuh ayat 10-12.


فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kau, sesungguhya adalah Ia Maha Pengampun."


يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا

"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu."


وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyakya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)."


Ini bukanlah kisah yang berkisar mengenai harta dan anak-pinak semata-mata. Tapi ia lebih dilihat secara umum sebagai keadaan yang menyempitkan. Dan tatkala itu, kita menghendakkan pada istighfar.
Apakah kita masih kabur dengan kehebatan istighfar?



Beristighfar Dalam Sebuah ‘Kemenangan’

Perhatikan dalam surah an-Nasr pula. Ayat 1-3. 



"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

Surah ini sebenarnya perkhabaran dari Tuhan bahawa Nabi akan mampu peroleh kemenangan bagi menguasai Mekah. Namun, pada ayat terakhir, Allah mengarahkan juga pada Nabi untuk 'istaghfirhu', yakni "memohon ampun padaNya."

Maka, bagitu juga kita di dalam kehidupan.

Dikala berjaya dalam peperiksaan, beristighfarlah.
Dikala terpilih untuk mendapat biasiswa, beristighfarlah.
Dikala program yang kita adakan mendapat sambutan ramai, beristighfarlah.
Senang difahami, di samping bergembira, ketika hadirnya perkara yang menumbuhkan erti 'kemenangan', jangan lupa untuk memohon ampun padaNya.



Kesimpulan: Istighfarlah, Itu Lebih Baik Bagimu

"Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!" [Surah Hud ayat 52]

Untuk beristighfar, tak perlu menunggu berbuat dosa semata-mata. Dan juga bukanlah ritual selepas solat sahaja.

Tatkala kita dalam kesempitan, beristighfarlah
Tatkala kita di dalam kegembiraan, beristighfarlah
Mohon ampun pada Yang Maha Kuasa.

Sungguh! Itu lebih baik bagiku dan bagimu.


Luqman Hakim bin Alias,
Sahabat Al-Quran.

0 comments:

Post a Comment

Countdown

Followers

Popular Posts

Labels