Hijrah: Bukan Sekadar Cuti Umum
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji untuk Allah, Tuhan Pemerintah alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Muhammad SAW, juga ke atas keluarga serta sahabat baginda kesemuanya.
Gambar Hiasan
Seronok kan dapat cuti hari ni? Mesti, kebetulan minggu yang sama pula dengan cuti Deepavali, pastinya ramai yang cuti seminggu terus.. eheh. Bersyukur sekali tinggal di Malaysia, harap tidak dicemburui sahabat2 di negara lain. Sebut pasal cuti.. err tau ke cuti apa hari ni?
Ya betul, tahniah! Cuti sempena tahun Hijrah yang ke... ok boleh jawab? yang ke 1,434! Jom kita lepak2 jap cerita pasal hijrah.
Hijrah dari segi bahasa bermaksud perpindahan. Dalam sejarah Islam, hijrah ialah perpindahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Peristiwa ini sangat besar ertinya kerana dakwah Islam telah berkembang dengan sangat hebat sehingga dapat dinikmati oleh KITA pada hari ini. Subhanallah.
Sahabat2 semua.
Banyak sebenarnya kisah-kisah di sebalik peristiwa Hijrah. Perbincangan kali ini akan berkisarkan kepada orang-orang Mekah yang berpindah ke Madinah, atau dikenali sebagai golongan Muhajirin.
Hijrah umat Islam bukan satu perkara yang mudah. Golongan Muhajirin ini terpaksa meninggalkan tanahair tempat kelahiran mereka, rumah kediaman, harta-benda, ternakan, tanaman, dan saudara-mara membawa bekalan yang minima untuk ke satu tempat yang masih samar-samar lagi nasib mereka.
Tambahan lagi, mereka perlu menempuh perjalanan yang berlatarbelakangkan padang pasir sejauh lebih kurang 430 km untuk sampai ke Madinah. Jauh mana tu? Kalau dari UNITEN tu sampai Machang, Kelantan (terima kasih googlemap). Waaah jauhnyeee! Ya memang jauh kalau naik kereta 4-5 jam baru sampai. Tapi... mereka bukan naik kereta, naik motor pun tidak. Mereka jalan kaki dan naik unta. Masya Allah.
Gambar Hiasan
Bukan setakat itu, mereka juga diburu oleh orang-orang kafir di Mekah yang cuba menghalang usaha hijrah ni. Besar nya dugaan mereka ini, kalaulah kita di tempat mereka, sanggup tak?
Namun berbekalkan keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah dan Rasulnya, Allah mempermudahkan urusan mereka dan sejurus selepas itu, tertubuhlah negara Islam yang pertama dalam sejarah iaitu di Madinah. Firman Allah di dalam surah An-Nahl yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya (dtindas oleh musuh-musuh Islam), Kami tentu akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempat yang baik (Madinah). Dan sesungguhnya pahala akhirat adalah lebih besar kalau mereka mengetahui(41) (Iaitu) orang-orang yang bersabar dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal (42).
Sahabat2 semua.
Menyingkap kisah Hijrah Islam tadi, bolehlah kita ambil pengajaran yang usaha menegakkan Islam ini memerlukan kepada kesungguhan dan pengorbanan. Kesanggupan untuk berkorban itu pula datang nya dari iman yang mantap hasil didikan dari Al-Quran dan As-sunnah. Hasilnya, Islam yang bermula dari sebuah bandar kecil di tanah arab, kini tersebar ke seluruh dunia dan satu ketika dulu, empayar Islam berjaya merangkumi 2/3 dunia.
Jadi. Sebagai seorang Islam. Apa pengorbanan yang anda telah lakukan untuk meneruskan usaha dakwah ini?
Eh kenapa nak dakwah lagi, orang islam kan dah ramai??!! Cuba kita renung sebentar keadaan di sekeliling kita. Berapa ramai orang yang nama Islam, mengaku Islam, tapi tidak beramal seperti orang Islam. Berapa ramai pula yang cakap/tulis pasal Islam, tapi tak beramal dengan apa yang disampaikan? (aduh terkena batang hidung). Astaghfirullah alazim. Inilah dia tanggungjawab besar kita sebagai orang yang faham untuk menyampaikan pula mesej dakwah ini kepada orang lain.
Firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.
Gambar Hiasan
Oleh itu sahabat2 semua, mengambil semangat golongan Muhajirin dari peristiwa hijrah 1434 tahun lepas,
demi masa depan Islam di dunia ini..
demi masa depan Islam di negara ini..
demi masa depan Islam di UNITEN..
demi keluarga dan sahabat2 yang kita sayang kerana Allah,
demi anak2 kita nanti..
demi generasi masa hadapan..
JOM KITA BERUBAH HARI INI. Mulakan dengan diri sendiri. Perbaiki amal ibadat kita, tinggalkan perkara2 yang dilarang. Sabda Rasulullah SAW, "Sebaik-baik orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." [HR Muslim]. Rajinkan diri ke majlis ilmu, sertailah usaha-usaha dakwah yang banyak di UNITEN ni. Semoga Allah redha dengan usaha kita, dan ditempatkan sebaris dengan pejuang-pejuang agama di akhirat nanti Insya Allah.
Di kesempatan ini, mari kita sama-sama mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Palestin yang pada awal hari ini telah diserang dengan dahsyat oleh zionis laknatullah. Semoga mereka terus tabah dan tenang menghadapi dugaan ini.
Sekian, salam Maal Hijrah 1434.